KUALA TERENGGANU – Selepas empat bulan ditutup ekoran pandemik Covid-19, Taman Tamadun Islam (TTI) yang merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di Terengganu kembali beroperasi bermula Rabu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, operasi itu melibatkan Taman Monumen, river cruise dan restoran B’beteng dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
"Sempena pembukaan ini, TTI mengadakan Promo Lengkap Vaksin kepada pengunjung dengan tawaran harga tiket RM10 bagi kanak-kanak dan warga emas serta RM15 untuk dewasa,” katanya selepas merasmikan pembukaan operasi TTI di sini pada Rabu.
Menurutnya, pengoperasian semula taman tema berbentuk pendidikan yang terletak di Losong itu selaras dengan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat lepas.
Sementara itu Ariffin berkata, kerajaan memerlukan kos sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh.
Katanya, kerja baik pulih itu memerlukan kos yang besar dan ia dijangka mengambil masa sehingga dua tahun.
"Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ariffin memaklumkan dua lagi monumen baharu akan dibina sebagai tambahan kepada 21 monumen sedia ada di Taman Monumen bagi menarik lebih ramai pelancong ke TTI.
"Tapi tidak dapat umumkan secara terperinci lagi kerana ia masih dalam peringkat awal perbincangan, cuma apa boleh saya katakan, ia melibatkan bangunan bersejarah dari Timur Tengah dan negara China,” katanya.