MKN longgar SOP pelawat ke Labuan mulai 24 September

Iklan
MKN mengeluarkan SOP baharu yang lebih longgar bagi memasuki Labuan mulai 24 September ini. - Foto Bernama

LABUAN - Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih longgar bagi memasuki Labuan mulai 24 September ini.

Pengarah MKN Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud berkata, menerusi SOP baharu itu, pengunjung ke pulau ini tidak lagi wajib menjalani kuarantin dan hanya perlu menunjukkan keputusan RT-PCR atau RTK-Antigen yang negatif, lengkap vaksinasi Covid-19 dan tidak bergejala ketika tiba di Labuan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kelonggaran tersebut adalah selari dengan peralihan Wilayah Persekutuan itu ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.

"Kita sedang menumpukan pada usaha menyeimbangkan ekonomi pulau bebas cukai ini dengan kesejahteraan dan kesihatan penduduk, oleh itu, kami, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan tekad untuk melindungi Labuan daripada kembali berdepan waktu yang sukar, tanpa menjejaskan kestabilan ekonominya,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pelawat mestilah menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum berkunjung ke pulau itu atau melakukan ujian air liur RTK-Antigen (yang diperakui pengamal perubatan berdaftar atau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan), 48 jam sebelum tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Labuan atau terminal feri.

Sementara itu, bagi mereka yang belum melengkapkan vaksin wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan, kata Mohd Hafiez

Iklan

"Pelawat yang bergejala ketika tiba di pintu masuk di sini atau keputusan ujian Covid-19 mereka didapati tidak sah, dikehendaki menjalani kuarantin selama lima hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari keempat, manakala 10 hari kuarantin bagi individu yang belum lengkap vaksinasi diikuti saringan RTK-Antigen pada hari kelapan,” katanya.

Menurut Mohd Hafiez, syarat-syarat kemasukan bagi pengunjung dari luar negara pula adalah berbeza, iaitu tempoh kuarantin 14 hingga 21 hari berdasarkan penilaian risiko Covid-19 di pintu masuk dan mereka yang telah menerima vaksin penuh boleh menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, pengangkut harian yang membawa barangan keperluan dari Sabah ke Labuan haruslah memiliki kad kesihatan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Labuan, dengan syarat mereka telah lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR atau RT-Antigen yang dilakukan tiga hari sebelum memasuki pulau ini.

"Kad kesihatan mestilah diperbaharui setiap minggu dan mereka tidak menunjukkan simptom ketika tiba di terminal feri Labuan, kakitangan kesihatan akan menjalankan saringan Covid-19 secara rawak ke atas pengangkut bagi tujuan pemantauan,” katanya. - Bernama