ALOR SETAR - DAP Kedah menggariskan empat syor kepada kerajaan negeri berkaitan kawalan gelombang jangkitan Covid-19 melalui beberapa strategi komprehensif berikutan Kedah masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kon Yew berkata, kertas cadangan berkenaan diserahkan pada 15 September lalu untuk pertimbangan kerajaan negeri bagi menurunkan kes aktif, selain mempercepatkan proses vaksinasi.
Menurutnya, pemberian vaksin perlu dipercepatkan melalui kerahan jentera kerajaan dan pimpinan masyarakat, termasuk mengubahsuai klinik kesihatan sedia ada sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terutama ketika memasuki era endemik.
"PPV yang dibina khas digantikan dengan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang dilihat lebih berkesan. Ini termasuk untuk tindakan pengesanan, pemberian vaksin, rawatan dan sebagainya.
"Kawalan atau pengurusan pesakit Covid-19 dan kontak rapat diyakini dapat mengurangkan penularan. Kaedah pengesanan melalui ujian secara besar-besaran, selain sistem pengesanan lebih berkesan untuk menjejaki pesakit atau kontak rapat,” katanya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Rabu.
Kon Yew turut mencadangkan isediakan tempat kuarantin khas dalam kadar mencukupi kerana bukan semua rakyat berdisiplin untuk kuarantin kendiri di rumah, khususnya perumahan awam dan flat berkepadatan tinggi kerana kekurangan ruang selesa.
"Apa persediaan dilakukan kerajaan negeri dalam mengurus rakyat ketika berlaku endemik?
"Sistem pendaftaran dan kawalan MySejahtera masih celaru, bekalan vaksin lambat, agihan tidak seimbang, kadar vaksinasi rendah, kaedah pengurusan kurang efektif, malah penerangan kepada rakyat tidak menepati sasaran, semua ini membawa kepada kelewatan mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Setakat Isnin lalu, jumlah kes terkumpul di Kedah adalah 126,758 kes dengan kadar kematian 1.34 peratus atau 1,688 kematian, selain Kedah antara negeri mempunyai kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) tertinggi iaitu 97.5 peratus.
Lebih membimbangkan, seminggu kebelakangan ini, kadar kematian ‘brought in dead’ di Kedah melebihi 65 peratus secara purata.
"Kedah dulu merupakan negeri ‘hijau’, kini bertukar ‘merah’. Data ini menunjukkan betapa perlahan proses vaksinasi selain kelemahan pengurusan kerajaan negeri berperang melawan Covid-19. Kalau digambarkan ini sebagai perang, saya rasa kita sudah lama dijajah,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan negeri mengumumkan inisiatif yang bakal diambil bagi membawa kembali Kedah ke zon hijau.
"Bagaimana dengan kapasiti perubatan, adakah ia mencukupi? Janganlah tunggu Kerajaan Persekutuan bertindak secara efektif, mungkin kerajaan negeri boleh gunakan sumber yang ada.
Gunakan simpanan negeri yang diumumkan cecah RM660 juta itu, mungkin keluarkan RM200 juta untuk bantu rakyat dan pulihkan ekonomi. Peruntukan RM32.4 juta yang dibelanjakan sepanjang pandemik amat kecil berbanding simpanan sedia ada,” katanya lagi.
Pengerusi DAP Kedah itu turut kesal kerana cadangan pemulihan ekonomi negeri hanya akan dikemukakan pada hujung tahun ini, menunjukkan kerajaan negeri tidak kompeten.
"Bajet untuk program yang dirancang namun tidak dapat dilaksanakan, boleh ditukar kepada program bantu rakyat. Patut bantu rakyat sendiri, bukan sekadar bergantung kepada Pusat.
ADUN pembangkang bersedia bersidang bersama membincangkan peruntukan tambahan sekiranya kerajaan negeri memerlukan kelulusan di Sidang DUN,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila terdapat 9,500 graduan di Kedah menganggur.
"Masalah ekonomi bertambah mudarat apabila anak muda tiada pekerjaan. Difahamkan lebih satu juta orang mendaftar di MYFutureJobs, hanya 203,102 berjaya mendapat kerja dalam tempoh 1 Januari hingga Ogos 2021.
"Tak mampu tunggu projek-projek berimpak tinggi siap dalam tempoh beberapa tahun lagi. Masalah di depan mata perlukan penyelesaian segera, seperti isu pekerjaan dan sara hidup. Apa tindakan dan perancangan segera kerajaan negeri?" soalnya.