SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju meluluskan diskaun atau rebat cukai taksiran dan fi lesen bagi 177 segmen penginapan dan hotel di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukkan diskaun sebanyak 50 peratus itu diberikan bagi cukai taksiran penggal kedua tahun ini dan fi lesen hotel sebanyak 50 peratus untuk tahun depan.
"Pemberian diskaun ini akan melibatkan anggaran kehilangan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) berjumlah RM1,510,031.25 bagi hasil cukai taksiran dan RM127,515 bagi lesen hotel.
"Tindakan ini dilakukan berikutan situasi sukar sektor pelancongan yang menghadapi cabaran besar ekoran kekurangan pelancong dan pengunjung ketika pendemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin berkata, pihaknya berharap pemberian diskaun itu sedikit sebanyak mengurangkan kos operasi pengiat industri pelancongan di negeri ini.
"Semua pengusaha segmen penginapan dan hotel yang telah membuat pembayaran cukai taksiran penggal kedua tahun ini sebelum 31 Ogos lalu akan menerima pelarasan diskaun bagi penggal pertama tahun depan.
"Mereka boleh merujuk kepada PBT masing-masing bagi maklumat pelarasan ini," katanya.