SEREMBAN - Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan menunaikan solat Jumaat mengikut kapasiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mulai Jumaat ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, syarat utama kehadiran ke masjid adalah melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
"Para jemaah turut diingatkan agar sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna, membawa sejadah peribadi bersaiz besar, menjaga penjarakan fizikal dan berwuduk terlebih dahulu dari rumah masing-masing.
"SOP lengkap boleh dirujuk melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap pematuhan SOP aktiviti masjid dan surau sebagaimana yang telah digariskan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga membenarkan kelas takmir atau pengajian agama dijalankan seperti biasa di masjid dan surau mulai tarikh yang sama.
"Bagaimanapun ia hanya dihadkan bagi tempoh satu jam iaitu antara waktu solat Maghrib dan Isyak serta sebelum solat Jumaat dan selepas solat Subuh.
"Kebenaran kuliah agama atau pengajian itu bagaimanapun hanya membabitkan guru takmir atau penceramah dari Negeri Sembilan dan bukannya individu daripada luar negeri ini," jelasnya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau juga diminta memastikan tingkap dibuka dan kipas digunakan bagi memberi ruang pengaliran udara dalam masjid dan surau.
Katanya, sebarang bentuk penyediaan makanan hanya dibenarkan secara bungkusan dan setiap jemaah perlu segera beredar sebaik makanan diambil.