Mayat nelayan hilang ditemukan di perairan Pulau Kapas

Iklan
Mayat, Mohd Noor yang ditemukan di perairan Pulau Kapas dibawa ke Jeti Marang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

DUNGUN - Mayat nelayan yang hilang selepas 26 jam dihanyutkan ombak di Kuala Dungun pada Selasa ditemukan di perairan Pulau Kapas kira-kira jam 3.40 petang pada Rabu.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, mayat Mohd Noor Mamat, 67, ditemukan terapung 20 kilometer dari Pulau Kapas iaitu kira-kira 38 batu nautika dari lokasi mangsa terjatuh dari bot yang dinaiki di muara Kuala Dungun.

Iklan
Iklan

"Mayat warga emas itu ditemukan pasukan penyelamat dan dibawa ke Jeti Marang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Menurut Azman, keadaan laut bergelora dengan arus deras dan air pasang besar menyebabkan mayat mangsa dihanyutkan jauh dari lokasi kejadian dalam tempoh yang singkat.

Iklan

Beliau berkata, usaha mencari mangsa turut dibantu Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

"Lebih 50 anggota dan pegawai bomba, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (Maritim) menyertai operasi ini," katanya.

Iklan

Pada Selasa, Mohd Noor dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama dua lagi rakannya iaitu Mohd Ibrahim, 63, serta tekong, Mahadi Ibrahim, 56.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 petang itu, mangsa bersama seorang lagi rakannya terjatuh dari bot gentian kaca yang dinaiki selepas dilambung ombak besar.

Rakannya itu berjaya diselamatkan selepas tekong berpatah balik, namun mangsa gagal diselamatkan kerana tenggelam dibawa arus deras.

Sementara itu, anak mangsa, Norhisham Mohd Noor, 37, yang ditemui di Unit Forensik HSNZ mengakui masih trauma dengan kejadian menimpa bapanya.

"Saya tak dapat nak cakap apa-apa sebab masih terkejut dengan kejadian ini. Saya hanya mampu memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana jasad bapa saya telah ditemukan," katanya.