KUALA LUMPUR - Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya disyaki terlibat kemalangan sebelum terbakar berhampiran Majlis Sukan Negara di Jalan Barat menghala ke Taman Teknologi Park, di sini, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan, pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan 2.26 pagi berhubung kebakaran kereta jenis Honda City sebelum tujuh anggota menaiki sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Bomba berjaya mengawal kebakaran dan api padam sepenuhnya pada 2.42 pagi dan bomba percaya kereta berkenaan dipercayai terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa yang kemudian diserahkan kepada forensik polis untuk tindakan selanjutnya.
Kenderaan Honda City itu terbakar 40 peratus di bahagian depan manakala mangsa rentung hampir 100 peratus. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan. - Bernama