Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 PPN mulai Jumaat

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di Semenanjung beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang diadakan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua negeri lain yang turut terlibat dalam peralihan itu adalah Pahang daripada fasa dua kepada fasa tiga dan Johor daripada fasa satu kepada fasa dua.

"Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

Iklan

"Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa dua, tiga dan empat adalah sama dengan sebelum ini.

Iklan

Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.

Pada 26 Ogos, Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini yang beralih ke Fasa 4 PPN apabila mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.