Institut Metrologi tawar skim pengiktirafan kualiti emas

Iklan
Pakar Metrologi Kanan NMIM, Dr Fazrul Mohd Nor (kiri) memberi penerangan mengenai cara mengukur ketulenan emas di Makmal NMIM, Sepang pada Rabu.

SEPANG - Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM Berhad menawarkan Skim Pengiktirafan Kualiti Emas kepada pengusaha emas di negara ini bagi memastikan jaminan kualiti pengukuran mencapai standard antarabangsa.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, skim yang pertama kali diwujudkan itu bertujuan meningkatkan kualiti dan penerimaan produk emas di kalangan pelanggan sekali gus dapat mengelak daripada menjadi mangsa penipuan emas palsu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui skim itu, logo Traceability atau Kebolehkesanan by NMIM akan dipamerkan pada sijil produk emas yang dikeluarkan oleh syarikat yang mengambil tawaran tersebut.

"Skim ini menetapkan syarat standard tertinggi dalam proses pengeluaran, pengukuran ketulenan dan kompetensi anggota kerja bagi menjamin kualiti.

Iklan

"Kita berharap agar skim ini dapat meningkatkan kualiti dan penerimaan produk emas dalam kalangan pelanggan," katanya pada sidang akhbar sempena kunjungan wakil Koperasi Makmur Malaysia Berhad di NMIM di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Datuk Hishamuddin Abdullah.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Ahmad Sabirin berkata, syarikat rangkaian kedai emas, Makmur Holdings Gold Sdn Bhd (Makmur Gold) menjadi syarikat pertama yang menerima tawaran skim berkenaan.

"NMIM juga bersedia meningkatkan kompetensi anggota kerja Ar-Rahnu Makmur Holdings Gold Sdn Bhd melalui Program Latihan Pengukuran Ketulenan emas.

"Inisiatif program ini bagi membantu industri Makmur Gold Sdn Bhd memiliki anggota kerja yang kompeten, profesional dan mempunyai kepakaran dalam pengukuran ketulenan emas bagi memastikan kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan sejajar dengan keperluan GP 25 - Garis Panduan Aktiviti Pajak Gadai Islam," katanya.