KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Rabu mengadakan pertemuan dengan tujuh artis tanah air bagi mendengar sendiri masalah dan keluhan yang sering dihadapi berkaitan industri kreatif negara.
Pertemuan tertutup dalam suasana santai selama lebih sejam itu berlangsung di sini lewat petang ini.
Annuar ketika ditemui Bernama selepas sesi pertemuan tersebut berkata antara isu yang dibangkitkan oleh artis yang ditemui ialah masalah pengurusan cukai dan isu berkaitan kebajikan seperti ketiadaan perlindungan insurans ketika berlakon dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
"Benda (masalah) itu bukan boleh terus selesai. Cuma ia perlu dikenal pasti supaya masalah itu ada tindakan susulan. Benda ini kompleks sebab itu saya tidak mahu dianggap berjanji bulan dan bintang...,” katanya.
Menurut beliau antara perkara yang perlu dilihat dalam mengkaji masalah berkenaan ialah aspek perundangan, peraturan sedia ada, birokrasi dan artis itu sendiri.
Annuar berkata, golongan artis di negara ini mempunyai persatuan tetapi persatuan itu lebih kepada menjaga kebajikan artis dan bukannya mengawal profesionalisme seperti persatuan badan profesional yang lain contohnya peguam dan perancang bandar.
"Kenapa tidak, artis ada persatuan yang mengawal profesionalisme mereka. Namun tidak ada peraturan yang jelas dalam menggariskan profesionalisme (artis) itu.
"Saya akan mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Seniman Malaysia dan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dalam waktu terdekat bagi mendapat lebih banyak input berhubung perkara ini,” katanya.
Annuar turut berkongsi gambar pertemuan itu di akaun Twitternya dengan catatan, beliau akan memperhalusi perbincangan yang berlangsung hari ini supaya tindakan susulan dapat dibuat. - Bernama