KUALA LUMPUR - Kerajaan terus giat melaksanakan usaha penambahbaikan ekosistem tenaga bakat muda negara dan pembangunan kebolehpasaran graduan melalui pelbagai program, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan adalah melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Beliau berkata, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun daripada 12.5 peratus atau 326,700 orang pada suku kedua 2020 kepada 11 peratus atau 283,100 orang pada suku kedua 2021.
"Dalam mendepani situasi pengangguran termasuk dalam kalangan siswazah, kerajaan memperkenalkan Program Perantisan yang membuka peluang pekerjaan bagi golongan graduan melalui latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.
"Jumlah perantis yang telah mendapat peluang menjalani perantisan adalah seramai 44,843 graduan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.
Selain Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 15 kementerian lain turut terlibat dalam penggulungan hari ini, antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Persidangan dewan bersambung esok (Khamis). - Bernama