Elak kluster bola sepak

Iklan
Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghantar permohonan menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020 yang bakal berlangsung pada penghujung tahun ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak mahu mengambil risiko berikutan kes Covid-19 di Malaysia masih tinggi.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu kalau boleh memang pasukan negara nak bermain di tempat sendiri. Tetapi kerana keadaan semasa, jadi kita kena peka dengan situasi sebegini.

"Setakat ini memang kita tidak ada buat permohonan untuk jadi tuan rumah memandangkan SOP (prosedur operasi standard) di negara ini agak ketat. Penonton juga belum dibenarkan masuk ke stadium.

Iklan

"Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) juga mencari venue yang tidak mempunyai SOP yang ketat. Kalau kita mohon, takut timbul masalah pada masa akan datang berkaitan SOP dan sebagainya.

"Pihak kerajaan pun perlu berjaga-jaga dengan pandemik ini. Kita juga tidak mahu timbul pula apa-apa kluster apabila penganjuran dilakukan di negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Kemboja dan Laos pada Piala Suzuki AFF 2020 yang akan diadakan di venue berpusat - berbeza dengan format pertandingan sebelum ini.

Juara lima kali, Thailand pula mengetuai Kumpulan A yang turut dihuni Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei atau Timor Leste.

Bagaimanapun, AFF masih belum mengumumkan venue rasmi kejohanan dwitahunan itu dengan keputusannya hanya akan diketahui pada penghujung bulan ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memberitahu, beberapa negara berpotensi untuk menjadi tuan rumah seperti Singapura, Kemboja dan Thailand.

"Negara-negara ini yang saya rasa kesnya tidak tinggi. Selain itu, mungkin SOP tidak ketat dan boleh memenuhi kriteria yang dimahukan AFF untuk penganjuran tahun ini.

"Pasukan negara juga tidak ada masalah sekiranya perlu bermain di venue lain dan diadakan secara setempat ini,” ujarnya yang baru memulakan tugasanya sebagai Setiausaha Agung FAM pada 1 September lalu.