Judi oh judi

Iklan

JUDI dalam rujukan kamus Dewan Bahasa bermaksud menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dalam permainan atau meletakkan dalam keadaan yang boleh menimbulkan bahaya atau mudarat. Selain itu, dalam bisnes judi disebut sebagai nombor ramalan. Dalam pada itu, dalam mana-mana anutan agama sekalipun, amalan perjudian adalah ditegah kerana ia membawa mudarat dan kemashalatan kaum.

Sementara itu, kerajaan pada Selasa mengesahkan telah memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali selepas kerajaan baru dibentuk pada akhir Februari tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengurangkan jumlah cabutan khas kepada 11 kali dan kekerapan cabutan khas terus dikurangkan lagi pada tahun 2020 kepada 8 kali sahaja setahun.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar tentang jumlah cabutan khas nombor ramalan yang dibenarkan kerajaan sepanjang tahun ini.

Iklan

Sebelum ini, cabutan khas nombor ramalan empat digit itu dimulakan pada 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah, namun laporan pada 2017 menunjukkan kerajaan mengutip RM238 juta daripada cabutan khas tersebut walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi.

Tidak dinafikan, negara sedang berhadapan cabaran paling getir dalam memperbaiki ekonomi dan pembangunan negara dek kesan serangan teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara malahan seluruh dunia.

Iklan

Dengan membuka sektor-sektor ekonomi termasuk pelancongan diharap dapat merangsang dan menyemarakkan kembali ekonomi, namun ia tidak mencukupi kerana negara ‘terkurung’ hampir dua tahun lamanya. Banyak kerosakan yang perlu diperbaiki segera demi kelangsungan rakyat sekaligus pembangunan negara yang tergendala.

Jika pun kerajaan terpaksa menambah bilangan cabutan kali ini kembali kepada 22 sebagai langkah paling cepat membaiki ekonomi negara, namun harus diingat kerajaan sedang mengutip cukai daripada golongan bawahan yang seringkali mencuba nasib mereka dalam aktiviti judi.

Hal ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40 termasuk golongan yang terdesak selain ketagihan berjudi. Mereka mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan.

Sudah tiba masanya kerajaan mencari alternatif atau seiring dengan perubahan yang telah kita lalui sepanjang pandemik ini iaitu norma baharu. Begitu jugalah dengan penjanaan semula ekonomi negara, harus melalui norma yang baharu kerana ancaman Covid-19 atau serangan virus lain masih belum selamat.

Semua sedia maklum betapa aktiviti judi menjadi punca kepada banyak kerosakan yang lain seperti kehancuran rumahtangga, keganasan, kecurian dan secara tidak langsung ia memberi nafas baru kepada peminjam wang tidak berlesen kembali ‘mengganas’.

Walaupun cukai judi mampu menjadi salah satu sumber pendapatan negara, namun persoalan sekarang yang perlu dijawab adakah ia seiring dengan program-program modal insan yang kerajaan anjurkan sedangkan dalam masa sama masih membiarkan judi sama ada halal atau haram berleluasa.