PERAK FC II mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia (Liga-M) apabila menoktahkan perjalanan terakhir kelab pembangunan (feeder club) Perak FC dengan kekalahan 0-2 kepada Kuching City dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada Selasa. Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian pengendali yang juga bekas pemain Perak, Syamsul Mohd Saad melabuhkan tirai di kedudukan ke-10 saingan liga selepas mengumpul 17 mata hasil empat kemenangan, lima seri dan 11 kekalahan setelah mengharungi 20 perlawanan.
Sesuatu yang sewajarnya dibanggakan dengan penggunaan dalam kalangan pemain-pemain muda apabila mampu menyaingi kelab lawan yang dibarisi pemain berpengalaman dan menandingi susuk tubuh tonggak import sekali ganda berbanding pemain tempatan.
Menariknya sebelum itu Perak FC II disahkan tersingkir ke saingan Liga M3 bukan dengan cara biasa-biasa, namun secara automatik setelah kelab induk Perak FC diturunkan pangkat ke Liga Premier musim depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, penyingkiran Perak FC II diputuskan berdasarkan Manual Liga Malaysia Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team.
Peraturan tersebut menyatakan pasukan berstatus kelab pembangunan secara automatik akan tersingkir daripada kejuaraan sekiranya kelab induk mereka jatuh liga.
Untuk rekod, Perak FC mengakhiri saingan Liga Super pada kedudukan ke-11 apabila mengutip 16 mata selepas mengharungi 22 perlawanan dengan melakar empat kemenangan, empat seri dan 14 kekalahan.
Isu kelab pembangunan kembali mewarnai saingan Liga-M musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebelum itu mengumumkan pembubaran Perak FC II setelah kelab induk atau utama tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.
Alasan utama diberikan PAFA adalah dalam tempoh dua tahun ini mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk mempersiapkan dan menstabilkan semula Perak FC pada saingan Liga Premier musim depan sebelum kembali semula bersaing dalam saingan Liga Super.
Situasi ini menyaksikan Perak II yang dijenamakan dari kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada penghujung 2019 menjadi anggota pertama dalam keluarga empat beradik kelab pembangunan - Johor Darul Ta'zim FC II (Johor FA), Terengganu FC II (T-Team) dan Selangor FC 2 (PKNS) meninggalkan Liga-M.
Menyelusuri asal usul
Istilah kelab pembangunan, feeder club atau reserve club dulu merupakan sesuatu yang asing dalam kalangan jemaah pencinta bola sepak negara ini, walaupun pendekatan bola sepak moden tersebut telah lama berakar umbi dalam beberapa kejuaraan liga di Eropah sebelum ini.
Beberapa kelab besar Eropah di Jerman dan Sepanyol masih menggunakan falsafah kelab pembangunan pendekatan menjadi penyokong atau kilang pembekalan pemain pelapis secara berterusan kepada kelab induk atau utama.
Di Sepanyol contohnya, Barcelona B, Real Madrid B, Sevilla B, Athletic Bilbao B, Celta Vigo B, Villarreal B, Betis B, Real Sociedad C dan Racing Santander B yang majoriti dalam kalangan pemainnya merupakan pemain muda yang menunggu masa dinaikkan pangkat ke skuad utama.
Di Jerman pula tidak kurang hebatnya dengan Bayern Munich II, Nurnberg II, Borussia Dortmund II, Freiburg II, Werder Bremen II, Hamburger SV II, St Pauli II, Hertha Berlin II, Hoffenheim II, Stuttgart II, Mainz II, Schalke II, Dusseldorf II dan Colonge II, menjadi tempat dalam kalangan pemain muda mendapatkan minit perlawanan kompetitif yang kurang diperolehi dalam saingan di akademi remaja.
Di kedua-dua negara yang bola sepak menjadi antara kegilaan nombor satu komuniti sukan, kelab pembangunan ini menjadi teras utama untuk pemain-pemain muda beraksi dengan meletakkan kelab pembangunan ini jauh dari capaian kelab utama dalam proses membentuk dan mematangkan gaya permainan pemain-pemain.
Kembali matlamat asal
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, secara realitinya dalam konteks bola sepak Malaysia untuk menguruskan kelab pembangunan yang beraksi di dua liga teratas memerlukan kos operasi yang tinggi.
Malah menurut Mohd Sadek, situasi menjadi lebih parah apabila kebergantungan penajaan terhadap kelab utama mengalami kemerosotan dalam dua tahun terakhir impak pandemik Covid-19.
"Kewujudan kelab pembangunan dalam saingan Liga Malaysia sememangnya merupakan tambahnilai tidak hanya kepada kelab induk, tetapi juga skuad kebangsaan dalam menghasilkan pemain yang berkualiti pada masa depan.
"JDT merupakan antara contoh terbaik yang mengunapakai konsep kelab pembangunan dalam saingan Liga M dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila berjaya menghasilkan pemain-pemain berkualiti yang boleh dibanggakan komuniti bola sepak.
"Begitu juga dengan Terengganu FC II yang memberikan impak positif dalam saingan Liga Premier kali ini, cumanya apabila terdapat kehadiran pemain import terlalu ramai ia akan menjejaskan peluang untuk pemain muda bersaing walaupun di kertas dilihat sebagai persaingan sihat," katanya.
Jelas Mohd Sadek lagi, kekuatan faktor kewangan merupakan aspek penting selain diurus tadbir golongan profesional untuk memastikan kelab pembangunan ini kekal menjadi penyumbang kepada kelab induk pada masa depan.
"Saya percaya pengurusan kelab yang mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh tidak berdepan masalah mengendalikan dua kelab baik kelab induk dan kelab pembangunan yang bersaingan dalam saingan dua liga teratas.
"Namun bagi pengurusan pasukan yang mula terasa bahang mengendalikan kelab induk atau kelab pembangunan berikutan kekangan kewangan berikutan situasi semasa, adalah lebih baik memfokuskan tumpuan kepada pembangunan pemain menerusi saingan Piala Presiden dan Piala Belia serta liga tempatan.
"Biarpun begitu situasi ini bukan pengakhiran kerana pengurusan kelab perlu lebih proaktif mengadakan kerjasama pintar dan berobjektif dengan penaja, penyiar dan media sosial menangani cabaran selepas pasca pandemik Covid-19 agar kelab mampu membina penstrukturan strategik seperti dilakukan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman yang membina ekosistem kewangan, perniagaan dan penganjuran sukan serta perniagaan hiliran sukan seperti kemudahan hotel dan perniagaan lain atas keperluan penyokong kelab bola sepak," ujarnya.
Kehadiran kelab pembangunan dalam saingan Liga-M sejak beberapa tahun kebelakangan ini sememangnya diakui memeriahkan saingan lagi dua saingan liga teratas negara yang sarat drama, aksi dan air mata.
Malah pembubaran Perak FC II seharusnya tidak mematikan jiwa-jiwa komuniti bola sepak tempatan khasnya penyokong-penyokong The Bos Gaurus untuk terus memartabatkan sukan paling popular negara ini, sebaliknya ini masa terbaik menambahbaik sistem peringkat akar umbi Piala Presiden dan Piala Belia demi lencana di dada dan tanah tumpah darahku....
* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Meja Sukan