Timbalan Speaker DUN tegur dua ADUN

Iklan
Chee Leong dan Norhizam

MELAKA - [DIKEMASKINI] Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ghazale Muhamad pada Khamis menegur dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tetap menjaga adab ketika sesi soalan lisan berlangsung.

Teguran itu diberikan kepada Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang 'berperang mulut' dan saling tuduh-menuduh apabila tidak berpuas hati sesama mereka.

Iklan
Iklan

"Cuba kita beradab cantik.

Kita punya persidangan ini, ada rakan-rakan, saudara kita di luar tengok apa yang berlaku.

Iklan

Adakah ini gambarannya manusia yang terpilih di kawasan masing-masing, mewakili masing-masing, duduk di dalam dewan ini berperangai apa yang Ahli-Ahli Yang Berhormat tunjukkan.. malu kita, termasuk saya.

"Kalau ada sedikit perbezaan pendapat cuba kita saling dengar, menghormati (sesama sendiri) supaya kita dapat selesaikan masalah.

Iklan

Kalau kita terus masing-masing bertinggi suara tak ada apa yang dapat kita selesaikan,” katanya pada persidangan DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Berlaku pertengkaran antara Norhizam yang juga Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Low ketika sesi soalan lisan berlangsung.

Chee Leong sebelum itu mengemukakan soalan tambahan berkaitan impak terhadap nelayan di Pantai Kundor, selepas projek ‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (M-WEZ) dilakukan.

Norhizam kemudiannya membalas beliau masih tidak menerima laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) sekali gus mengundang rasa tidak puas hati Low terhadap jawapan tersebut sebelum kedua-duanya saling meninggikan suara.

Pertengkaran tersebut berlangsung kira-kira 4 minit dengan Ghazale beberapa kali menyuruh kedua-dua ahli dewan berkenaan duduk, namun tidak diendahkan sebelum mereka ditenangkan oleh Bentara Dewan.

Norhizam sebelum itu menjawab soalan dikemukakan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) yang mahu tahu mengenai perkembangan pembinaan jeti dan bangsal nelayan di pantai tersebut.

Norhizam dalam jawapannya berkata, permohonan peruntukan bagi membina jeti nelayan berjumlah RM7,295,922 telah dihantar ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan mesyuarat Jawatankuasa Menangani Isu Nelayan telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM21,000 bagi membaik pulih bangsal simpanan bot dan pukat di Pantai Kundor. -Bernama