Program outreach vaksinasi berkesan tangani golongan antivaksin

Iklan
Mohd Hayati

ALOR SETAR - Program outreach vaksinasi Covid-19 diyakini berkesan dalam menangani golongan anti vaksin apabila Kedah berjaya meningkatkan kadar vaksinasi yang sebelum ini dilihat agak perlahan.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sejak program itu diperhebatkan termasuk melipatgandakan sesi penerangan bersama pemimpin setempat ke pelusuk daerah khususnya kawasan luar bandar, peratusan vaksinasi melonjak sehingga melebihi 57 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peratusan pemberian vaksin satu dos setakat ini meningkat melebihi 80 peratus manakala dua dos melebihi 64 peratus.

"Sejak diadakan kedua-dua program berkenaan, individu yang menolak vaksin didapati semakin berkurangan, namun saya tiada statistik berkaitan itu buat masa ini.

Iklan

"Bagi dos kedua vaksin AstraZeneca terdapat sekitar 130,000 penerima di mana tempoh matangnya sembilan minggu, jadi kita akan mohon dipendekkan tempohnya agar peratusan dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor) berhubung usaha kerajaan negeri untuk menangani individu yang enggan menerima suntikan vaksin di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Hayati turut berharap dengan adanya kes-kes pendakwaan di mahkamah berkaitan kenyataan palsu vaksinasi akan dapat mengurangkan bilangan golongan anti vaksin di Kedah.

"Kita akan pelbagaikan pendekatan untuk tingkatkan peratusan vaksinasi, antaranya memperkasakan peranan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) dalam membantu menambahkan maklumat pengambilan vaksin di peringkat komuniti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Yusoff Zakaria (Pas-Kuala Nerang) berhubung peranan pemimpin setempat dalam merancakkan program vaksinasi.

Menurutnya, usaha lain termasuk mewujudkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) serta membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega integrasi terbesar di Sungai Petani yang mampu memberikan suntikan vaksin 5,000 sehari.

Mohd Hayati memaklumkan, pemberian vaksin bergantung kepada bekalan vaksin yang diagihkan di mana pada peringkat permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), bekalan vaksin diterima Kedah adalah sedikit sebelum meningkat secara perlahan sehingga Julai.

"Jumlah PPV yang aktif sehingga 4 September sebanyak 114 buah, PPV awam (15) dan Special PPV (SPPV) di empat buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim serta Hospital Sultanah Maliha sebagai pusat suntikan pesakit berisiko tinggi hospital dan pusat rujukan oleh PPV awam/swasta bagi penerima yang tidak sesuai disuntik di PPV.

"Bagi pusat pemberian vaksin membabitkan pengamal perubatan swasta (PPVGP) sebanyak 60 buah dan lima PPV hospital swasta. Terdapat juga 12 PPV klinik kesihatan (PPVKK) di lima daerah yang beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hayati berkata, semua langkah ini diambil bagi memastikan sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi seterusnya mencapai tahap imuniti kelompok.

"Kos keseluruhan PPV Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti adalah RM953,117.15 manakala PPV Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani sebanyak RM24,676.75 setakat 27 Ogos,” katanya.