150 kaunselor, pakar psikologi pantau kesihatan mental penuntut IPTA

Iklan
Ahmad Masrizal

KUALA LUMPUR - Seramai 150 kaunselor dan pakar psikologi dilibatkan di semua universiti awam negara bagi memantau kesihatan mental penuntut sepanjang proses pembelajaran dalam tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pengurusan tekanan itu dilaksanakan melalui talian psikososial (telekaunseling) dan secara maya bagi penuntut yang menghubungi kaunselor dan pakar psikologi terlibat.

Iklan
Iklan

"KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) amat mengambil serius mengenai tahap kesihatan mental pelajar sepanjang mereka menjalani proses pembelajaran di rumah sepanjang kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19. Pelajar amat digalakkan supaya menghubungi talian kaunseling yang disediakan melalui nombor di laman web universiti masing-masing," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (BN-Batang Lupar) yang mahu kementerian menyatakan langkah bagi memantau kesihatan mental pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran bebanan tugas dan masa kuliah yang padat sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Iklan

KPT dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) juga dalam proses membangunkan modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan penuntut yang bakal dilancarkan Oktober ini.

Ahmad Masrizal berkata, setakat ini sebanyak 160 program dan aktiviti pengurusan tekanan dilaksanakan secara dalam talian oleh universiti awam di samping dua program dilaksanakan oleh KPT tahun lepas dan lima lagi dirancang dilaksana tahun ini.

Iklan

KPT juga melaksanakan program sama di politeknik dan kolej komuniti seluruh negara apabila turut merancang 10 program psikologi di peringkat kebangsaan dan 118 program di peringkat institusi tahun ini, katanya. - Bernama