KUANTAN - Suara tangisan kanak-kanak berusia tiga tahun menyelamatkan nyawa lima beranak termasuk seorang bayi lima bulan dalam kejadian kebakaran di Kampung Darat Sungai Ular pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Fatimah Abdullah, 71 berada di dalam rumah bersama empat cucunya berusia lima bulan hingga enam tahun.
Menantunya, Nurul Syahira Mat Rahim, 25 berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya Suhainizan Saman, 31, tiada di rumah kerana ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Amal di Kemaman, Terengganu.
"Kami menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di PPV terbabit.
"Susulan itu, kami bergegas pulang dan sebaik sahaja tiba-tiba, hampir keseluruhan rumah sudah terbakar,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Nurul Syahira berkata, ketika kejadian, ibu mentuanya berada di dapur sebelum anak keduanya, Muhammad Waif Rayyan, 3 tahun secara tiba-tiba datang dan menangis.
Jelasnya, Muhammad Waif memberitahu ada melihat api dan ibu mertuanya terus memeriksa bilik serta mendapati api sudah marak.
"Ibu mertua terus membawa membawa empat cucunya itu keluar dari rumah. Api merebak dengan cepat sehingga tiada apa yang sempat diselamatkan menyebabkan kami kini tinggal sehelai sepinggang," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, dua jentera bersama tujuh anggota termasuk dua pegawai diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
Katanya, sebaik sahaja anggota tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran rumah jenis kekal dan kebakaran telah memusnahkan kira-kira 70 peratus namun tidak melibatkan mangsa.
"Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos dan dua hose reel dari tangki pam jentera,” katanya.