KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau tidak lagi menggunakan terma imuniti kelompok.
Menurutnya, sewaktu program vaksinasi dimulakan kerajaan menggunakan formula konvensional untuk mengira imuniti kelompok, tetapi ketika itu sebelum penularan varian Delta.
"Varian Delta pada dasarnya telah membuang pengiraan imuniti kelompok dan sangat sukar untuk menyatakan bila kita boleh dapat imuniti,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sebelum itu bertanyakan mengenai berapa jumlah sebenar imuniti kelompok yang disasarkan.
Tambah Khairy, soal mengenai imuniti kelompok seharusnya tidak lagi dilihat dan apa yang penting adalah liputan vaksinasi yang meluas.
"Sebab itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja sangat penting dan kita juga sedang melihat kepada data ujian klinikal yang dikeluarkan oleh Pfizer untuk vaksinasi kepada golongan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun,” katanya.
Menurutnya, tidak cukup hanya 80 sehingga 90 peratus golongan dewasa sahaja yang menerima vaksinasi kerana kanak-kanak masih lagi tidak divaksinasi.
"Kita jangan lagi sebut soal imuniti kelompok dan saya rasa pakar seluruh dunia sudah menghentikan penggunaan imuniti kelompok dalam konteks Covid-19 ini,” katanya.