Vaksinasi lengkap kurangkan kematian sehingga 88 peratus

Iklan
Vaksinasi lengkap Covid-19 didapati mampu mengurangkan peratusan kematian sehingga 88 peratus.- Foto hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Vaksinasi lengkap Covid-19 didapati mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 88 peratus.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr P Kalaiarasu berkata, ia berdasarkan kepada 1,261,270 jumlah populasi kajian.

Iklan
Iklan

"Keberkesanan bagi separa lengkap adalah 49 peratus," katanya.

Memperincikan kes kematian, beliau berkata, keberkesanan dos lengkap AstraZeneca adalah 92 hingga 98 peratus.

Iklan

"Bagi Pfizer pula ia adalah sekitar 92 hingga 94 peratus manakala Sinovac adalah 83 hingga 85 peratus," katanya.

Menurutnya, statistik kematian Covid-19 di dalam negara setakat 21 September menunjukkan kadar kematian adalah 1.15 peratus.

Iklan

"Ini bermakna bagi setiap 10,000 individu yang dijangkiti, 115 orang mungkin berdepan kematian," katanya dalam sesi libat urus bersama media pada Khamis.

Ia dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim yang bertindak sebagai moderator.

Dr Kalaiarasu berkata, 84 peratus daripada 24,565 kes kematian melibatkan individu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbid.

"Tekanan darah tinggi adalah yang tertinggi dengan 73.2 peratus, diabetes melitus (55.0), kolesterol tinggi (46.9), jantung (15.8), buah pinggang (15.8), obesiti (10.5), strok (7.9), paru-paru (5.6), hati (1.4) dan kanser (1.3)," katanya.

Ujarnya, kadar keseluruhan kematian adalah 0.010 peratus dalam kalangan penerima dos lengkap.

"Ia membabitkan 76.3 peratus pesakit berusia 60 tahun ke atas dan 92 peratus mempunyai komorbid," katanya.

Beliau berkata, vaksinasi juga didapati mampu mengurangkan kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU).

"Keberkesanannya mampu mengurangkan sehingga 83 peratus kes ke ICU bagi pesakit yang lengkap vaksinasi," katanya.

Tambahnya, keberkesanan vaksin juga didapati mampu mengurangkan risiko jangkitan sehingga 88 peratus bagi individu yang telah lengkap dos suntikan manakala 35 peratus bagi mereka yang separa lengkap dos suntikan.

"Keberkesanan vaksin ini juga mampu mengurangkan sehingga 88 peratus gejala Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Dr Kalaiarasu menggesa masyarakat untuk segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan orang sekeliling.