ALOR SETAR - Syarikat Ben Zaid International LLC (BZI) dipilih sebagai rakan kerjasama strategik projek pembangunan Widad@Langkasuka di Langkawi berdasarkan pengalaman dan reputasi baik di United Arab Emirates (UAE) dan peringkat antarabangsa melalui pelaburan berimpak tinggi di beberapa negara.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat itu juga memiliki kedudukan kewangan kukuh menyebabkan pemaju, Widad Business Group Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan BZI yang berpangkalan di UAE pada 30 Mac lalu.
Menurutnya, kedua-dua syarikat terbabit telah menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV), iaitu Widad VZI Sendirian Berhad sebagai pemaju fasa pertama projek pemasaran dan promosi yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua entiti tersebut.
"Projek Widad@Langkasuka kini dalam fasa pertama pembangunan kerja-kerja awalan untuk kelulusan projek permohonan kebenaran merancang secara dalam talian, yang telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) 14 Ogos lalu.
Proses mengemukakan pelan-pelan dan bayaran kepada MPL telah dilaksanakan pada 13 September,” katanya bagi menjawab soalan lisan Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan) berhubung status terkini projek bernilai RM40 bilion itu, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan, komitmen fi bagi pembangunan fasa pertama sudah dijelaskan membabitkan RM4.5 juta.
"Komitmen fi seterusnya berdasarkan kepada kemajuan pembangunan projek dan berharap ia bakal menjadi projek ikonik Kedah dalam tempoh 15 tahun akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Kok Yew (DAP-Derga).
Muhammad Sanusi yakin projek ini mampu dilaksanakan walaupun dunia berdepan pandemik Covid-19, susulan perkembangan fizikal atas tapak berjalan lancar.
"Ada kebimbangan termasuk saya sendiri sama ada syarikat ini mampu teruskan projek dalam era pandemik, namun saya yakin setelah melihat kepada kemajuan projek.
Ini termasuk jangkaan ekonomi kembali berkembang selepas unjuran Covid-19 berakhir sekitar 2026, pelancong akan mula bergerak di seluruh dunia dan beri manfaat kerana kebanyakan projek ini berkaitan industri pelancongan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Widad@Langkasuka adalah projek pembangunan komersial bercampur dua fasa, iaitu fasa pertama seluas 222 ekar dan fasa kedua seluas 1,700 ekar.
"Fasa pertama terbahagi kepada tujuh komponen, iaitu rumah kelab dan padang golf, perumahan berpagar banglo dan rumah berkembar, kondominium, mall dan SOHO, kompleks perniagaan dan bazar, kondominium serta hotel.
Pembangunan ini secara berperingkat dalam tempoh empat tahun hingga 2025 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.5 bilion,” katanya.
Menurutnya, fasa seterusnya melibatkan lapan komponen dan akan dilaksanakan pada tahun ketiga dalam fasa pertama.
"Jangka masa pembangunan dianggarkan 15 tahun melibatkan pusat seni dan budaya, kompleks imigresen dan pengangkutan, hotel dan resort, pusat perniagaan, taman tema dan rekreasi, pusat perubatan, pusat pengajian tinggi dan perumahan,” tambahnya lagi.