BARISAN pemain Kelantan FC dituntut memperagakan aksi lebih berkualiti pada saingan Piala Malaysia musim ini.
Pemiliknya, Norizam Tukiman atau Zamburger berkata, aksi berkualiti itu bagi mengelakkan The Red Warriors (TRW) menjadi 'lauk' dalam saingan berprestij itu nanti.
"Melihat kepada aksi terakhir Liga Premier menentang Selangor FC II, saya optimis Kelantan FC mampu memberi saingan kepada pasukan lain," katanya pada Khamis.
Menurutnya, TRW menyasarkan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi tahun ini.
Beliau berkata, walaupun bakal berdepan saingan sengit namun Kelantan FC mampu melakukan kejutan jika kekal dengan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Zamburger berkata, saingan bola sepak sering menampil 'kejutan' apabila barisan pemainnya akan beraksi lebih cemerlang sekiranya bertemu dengan pasukan kuat.
"Sebab itulah, saya sasarkan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zamburger berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh Kelantan FC sepanjang saingan Liga Premier musim ini.
Katanya, sebagai pemilik baharu kedudukan di tangga keenam dalam carta liga sudah memadai selepas menyasarkan berada di kedudukan kelima.
"Apa yang penting kita lebih baik daripada pasukan-pasukan lain, lagipun pasukan saya ini tidak menggunakan bajet yang besar," katanya.