MA63: Masih tiada keperluan dedah laporan akhir kepada umum

Iklan
Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih tetap dengan pendirian tiada keperluan bagi mendedahkan laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada umum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui memandangkan isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal dan bertaraf rahsia rasmi kerajaan serta masih dalam proses perundingan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, status dokumen ini kekal bertaraf rahsia rasmi dan perlu diberikan perlindungan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

"Bagaimanapun, kerajaan akan membuat pengumuman dan pernyataan awam berhubung status pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan sebaik sahaja perkara-perkara itu selesai dilaksanakan dari masa ke masa,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Parlimen.

Iklan

Mengenai penyerahan semula kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah, Ongkili berkata Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) yang dikuatkuasakan di pulau itu di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) dibatalkan.

Katanya, perkara itu dimuktamadkan menerusi Majlis Khas MA63 pada 13 April lepas.

Iklan

"Susulan keputusan itu, kedua-dua pulau tersebut adalah tertakluk di bawah kuasa perundangan Negeri Sabah iaitu Enakmen Taman 1984 (Sabah No. 6 of 1984) sebaik sahaja Perintah Pembatalan KLTL Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan diwarta dan dikuatkuasakan kelak.

"Dari aspek keselamatan di kedua-dua pulau itu, ia kekal di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata keputusan yang diambil itu berbeza berbanding keputusan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang hanya membatalkan Perintah Fi di bawah Akta Fi 1951 (Akta 209) namun mengekalkan Perintah KLTL bagi Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan. - Bernama