PUCHONG - Seorang pengasuh berdepan detik hitam apabila dikelar di bahagian kening dan dagu oleh perompak dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri sekitar Taman Putra Perdana pada Jumaat lalu.
Lebih memilukan, mangsa, Siti Norafizah Mohd Hezri,21, dikatakan turut dijerut dengan kain oleh perompak terbabit.
Menurut ibu saudaranya, Siti Afipah Harun,31, dia menyedari mengenai kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja sekitar jam 6.50 petang dan mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka tanpa kelibat mangsa.
"Saya pelik bila tengok dua anak saya bermain dengan pintu depan terbuka, malah ada sikit kesan darah di tepi bilik air.
"Saya tanya anak-anak mana Mek Nor (nama samaran mangsa) dan mereka bagi tau dia ada dalam tandas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Siti Afipah terus meluru ke tandas dan mendapati mangsa dalam keadaan separuh nyawa serta berlumuran darah.
"Suspek perdaya mangsa dengan mendakwa ada lori sampah dah langgar kereta miliknya yang di parkir di luar pagar rumah berkenaan.
"Cemas dengan keadaan itu, Mek Nor bergegas membuka pagar terbabit sebelum diserang perompak berkenaan yang dipercayai warga asing," ceritanya.
Katanya, suspek menolak anak Mek Nor ke dalam rumah dan menumbuknya bertubi-tubi di bahagian perut dan memukulnya di kepala.
"Saya bawa Mek Nor ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut berhubung kecederaan yang dialami dan menjalani pembedahan pada Sabtu lalu.
"Laporan polis dah dibuat di Balai Polis Putra Perdana pada hari sama memandangkan banyak barang peribadi milik Mek Nor seperti telefon bimbit, dompet, dan barang kemas," katanya.