'Harga ayam turun tapi masih mahal'

Iklan
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Peniaga makanan di negeri ini mengakui harga ayam segar menunjukkan penurunan selepas beberapa tindakan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Hasil tinjauan di beberapa lokasi jualan ayam segar termasuk di Pasar Payang pada Khamis mendapati kebanyakan harga jualan antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram (kg) berbanding RM10 sebelum ini.

Iklan
Iklan

Walaupun berlaku penurunan sekitar 50 sen hingga RM1.50 bagi setiap 1kg ayam segar, peniaga menyifatkan harga itu masih berada pada paras tinggi berbanding harga biasa yang diperoleh sebelum berlaku peningkatan mendadak harga ayam sejak awal bulan ini.

Peniaga kedai makan, Nor Harizan Hassan, 41, berkata, perniagaan makanan yang diusahakannya terkesan dengan kenaikan harga yang berlaku.

Iklan

"Sebelum ini, saya agak tertekan dengan harga yang tinggi sehingga mencecah RM10, namun sekarang berlaku penurunan sedikit daripada RM10 sekilogram kepada RM8.50 hingga RM9.50. Hari ini, saya beli ayam harga runcit RM9.20 manakala harga borong RM8.20.

"Memang ada penurunan tetapi saya yakin kebanyakan pengguna lain turut mengakui harga ayam buat masa ini masih mahal berbanding harga biasa iaitu RM7.50 dan RM6 seperti sebelum ini.

Iklan

"Kalau boleh kita harap kerajaan dapat terus memantau harga ayam ini supaya peniaga dan pengguna tidak terus terbeban," katanya yang menggunakan sekitar 50 ekor ayam setiap hari bagi jualan nasi di gerainya di Losong di sini.

Sementara itu, peniaga sate, Ramli Awang, 54, berkata, harga sumber makanan itu didapati semakin menurun sejak minggu ini.

Ramli menjalankan perniagaan sate di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

"Saya dapati harga ayam turun sedikit dalam minggu ini. Kalau beli di pasar, saya boleh dapat dalam harga RM9.50, kalau beli ayam di pasar borong pula boleh dapat dalam RM8 untuk sekilogram.

"Saya bersyukur kerana pihak kerajaan tidak memandang sepi isu ini dan terus bertindak. Kita harap kerajaan dapat terus memantau isu kenaikan harga ayam ini.

"Kalaulah harga ayam semakin naik, mungkin saya tidak dapat lagi meneruskan perniagaan sate yang dijalankan sejak 20 tahun lalu," katanya.

Pada Selasa, KPDNHEP Terengganu memaklumkan seramai 33 peniaga terdiri daripada 31 peruncit dan dua pemborong menerima surat pemberitahuan berhubung kenaikan harga jualan ayam segar sehingga mencecah RM10 sekilogram.

Surat pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan setelah mendapat maklum balas daripada 47 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) yang diedarkan sejak 12 hingga 20 September lalu.