Sentuhan legenda All Blacks

Iklan
RODNEY SO’OIALO

LEGENDA All Blacks, Rodney So’oialo teruja dengan pelantikannya sebagai pengendali baharu skuad ragbi 15 sebelah negara bagi menggantikan Bradley Moni Mika.

So’oialo berkata dia akan menggunakan peluang sebagai ketua jurulatih untuk mencurahkan ilmu serta pengalaman dimilikinya kepada barisan pemain negara.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya ini satu tugas dan cabaran baharu untuk mempersiapkan skuad yang mantap bagi berdepan Hong Kong dan Korea Selatan pada Kejohanan Ragbi Asia 2021.

"Apa yang penting pada saya dalam permainan ragbi ini adalah disiplin dan semangat ingin belajar kerana dua elemen tersebut secara tidak langsung akan memacu kejayaan sesebuah pasukan.

Iklan

"Begitupun, tanggungjawab ini juga tidak hanya merupakan peluang kepada saya untuk melatih tetapi berkongsi pengalaman sebagai bekas pemain dengan pemain-pemain ragbi Malaysia.

"Apa pun saya perlu terlebih dulu memastikan dapat memahami situasi dalam pasukan selain memastikan pemain-pemain mempunyai matlamat sama,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Iklan

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sebelum itu mengumumkan pelantikan So’oialo sebagai pengendali baharu pasukan ragbi 15 sebelah negara atau dikenali sebagai skuad Bunga Raya.

Untuk rekod, So’oialo yang merupakan bekas kapten skuad New Zealand 15 sebelah pada 2002 hingga 2009 telah mengumpul sebanyak 62 penampilan bersama All Blacks.

Antara kejuaraan utama bersama All Blacks adalah ketika menjulang Piala Dunia 7 Sebelah 2001, pingat emas Sukan Komanwel 2002 dan beraksi di pentas Piala Dunia 15 Sebelah pada tahun 2003 dan 2007.

So’oialo juga mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan bersama kelab Jepun, Honda Heat (2011-2012), Wellington Lions (2016- 2017), Verona Rugby Club, (2018-2019) dan Tawa Rugby (2020).

Selain itu, So’oialo merupakan tenaga pengajar di International Rugby Academy of New Zealand (IRANZ) pernah dilantik sebagai panel pemilihan pemain bagi skuad All Blacks pada 2020.