Produk salai istimewa Alam Warisan

Iklan
Mohd Syafiq Akmal(kiri) dan rakan niaganya menunjukkan produk salai keluaran Alam Warisan.

PENGELUAR produk salai Alam Warisan dari syarikat TAD Frozen Enterprise yang beroperasi di Port Dickson, kini dalam usaha mengukuhkan lagi produk keluarannya dengan mempelbagaikan lebih banyak produk salai sejuk beku.

Meskipun baharu beroperasi hujung tahun lalu, namun produk yang diusahakan oleh lima sekawan ini kini sudah berjaya menembusi pasaran di beberapa negeri antaranya Melaka, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Iklan
Iklan

Pengurus syarikat, Mohd Syafiq Akmal Shamsudin, 28, berkata, buat masa ini terdapat empat jenis produk salai iaitu daging salai, itik salai, ayam kampung salai dan daging salai seruding.

Iklan

Daging salai dihiris nipis dan kemas. Produk salai yang sedia dihantar kepada pelanggan.

"Produk kami yang paling mendapat permintaan ialah daging salai yang mana sebanyak 4,000 bungkus terjual setiap bulan.

Iklan

"Kami kini dalam proses mengeluarkan produk baru iaitu ikan keli dan puyuh salai kerana ada permintaan daripada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kesemua produk keluarannya boleh didapati di stokis dan 40 ejen berdaftar yang terdapat di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, pelanggan juga boleh mendapatkan produk salai Alam Warisan di beberapa kedai produk bumiputera di Negeri Sembilan dan ia juga akan berada di pasar raya terpilih tidak lama lagi.

"Produk daging salai kami seberat 500gram sebungkus berharga RM49 dan harga itik salai dan ayam kampung salai antara RM35 sehingga RM60 sebungkus mengikut kilogram,” katanya.

Daging yang disalai di atas 'smoker daddy’s backyard’, yang dicipta sendiri.
Bakar guna kayu rambutan

Sementara itu katanya, produk salai keluaran syarikatnya 100 peratus diusahakan oleh bumiputera yang mana ia dihasilkan dengan pembakaran asap 100 peratus menggunakan kayu buah rambutan selama tujuh sehingga 10 jam.

"Walaupun kami menggunakan mesin smoker daddy’s backyard, tapi ia masih tidak lari dari konsep tradisi dan penggunaan kayu api sangat diberi perhatian bagi mendapatkan aroma dan yang wangi serta bau asap tidak terlalu kuat.

"Produk kami juga tidak mengandungi sebarang perisa atau pewarna tambahan melainkan hanya diletakkan garam dan kunyit yang merupakan satu kaedah perapan untuk membuatkan produk lebih tahan lama,” katanya kepada Sinar Harian.Bagi memastikan produk dihasilkan bersih dan selamat, aspek kebersihan dan kualiti proses pembuatan diberi perhatian penting.

Jelas Mohd Syafiq Akmal, kesemua produk Alam Warisan juga telah siap dibersihkan terlebih dahulu sebelum disalai dan pengguna hanya perlu menyahbekunya sebelum dimasak.

Lima sekawan sepakat ceburi perniagaan produk salai.

"Selepas melalui proses salai, produk kami akan terus dibungkus dengan 'vacume seal' bagi mengelakkan pembiakan bakteria kerana jika tersilap cara salaian dan pembungkusan, ia mudah busuk dan rosak.

"Produk kami boleh disimpan selama dua tahun dan produk yang sudah dibuka, tetapi disimpan di dalam 'vacume bag' boleh bertahan selama enam bulan,” katanya.

Apa yang pastinya, istimewanya produk salai ini kerana ia boleh disimpan lama dan rasa dagingnya masih tetap sama.