KUANTAN - Lebih 50 peratus pekerja Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) di Pahang akan berdepan kehilangan pekerjaan, jika Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah pekerja yang ditetapkan di setiap sekolah untuk kontrak baharu.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan negeri (Kosppem), Datuk Abu Nirah Tengku Ahmad berkata, setakat ini seramai 6,000 pekerja KBK di negeri ini, pengurangan separuh dari jumlah itu memberi kesan kepada mereka yang terlibat.
"Ini jumlah pekerja di negeri ini... kalau di seluruh negara dianggarkan 90,000 pekerja semasa akan dikurangkan, jadi sebanyak 50 peratus (45,000) yang akan hilang pekerjaan.
"Jadi, kita minta kementerian mengkaji semula keputusan itu kerana hasrat asal pihak kerajaan adalah membuka ruang kepada kontraktor untuk memberi perkhidmatan pembersihan di sekolah dengan membantu rakyat di kampung dan tanah rancangan Felda untuk menambah pendapatan menerusi pekerjaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kebanyakan pekerja ini sudah lama memberi perkhidmatan mereka dan tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian.
Abu Nirah menegaskan jumlah pekerja yang ditetapkan sejak tahun 1994 adalah mengikut keadaan semasa setiap sekolah yang jumlah murid dan pelajar bertambah.
"Akibat perubahan keadaan semasa itu, kekerapan ruang lingkup kerja juga telah ditingkatkan dan sudah tentu memerlukan pertambahan pekerja dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Abu Nirah berkata, pihaknya menyaran agar semua Jabatan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan mengatasi segera kelemahan sistem e-tander yang menyebabkan berlaku sistem tergendala menyebabkan tander terpaksa dibuat berulang kali.
"Kita mahu jabatan kerajaan dan swasta menyelaras ruang lingkup kerja perkhidmatan pencucian bangunan, kawasan kerana ia sama sahaja diguna pakai oleh semua pihak.
"Banyak jabatan kerajaan tidak memahami ruang lingkup kerja pembersihan seperti scrubbing, polishing, buffing lantai dan juga tidak memahami jenis-jenis bahan kimia yang digunakan dan keadaan ini sebenarnya menimbulkan perbezaan pandangan antara kontraktor dan majikan,” katanya.
Sehubungan itu, Abu Nirah juga menyaran agar semua pemilik konsesi kerja pembersihan seperti Alam Flora, Propel, Road Care, Alloy Maintenances, Idaman dan Southern Wastes membuka ruang kepada persatuan kontraktor pembersihan seperti Kosppem untuk berkongsi maklumat serta penambahbaikan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.