SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hairan kerana sepanjang tempoh 10 tahun menjadi Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, syarikat itu tidak pernah mengalami kerugian.
Malah katanya, nilai aset juga tidak pernah turun dan naik setiap tahun.
"Dalam tempoh 10 tahun ini, nilai aset bersih Khazanah telah naik RM82.3 bilion (244 peratus) dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada akhir 2017.
ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah rugi buat pertama kali sejak 2005
"Setelah PH ambil alih, nilai Khazanah terus jatuh RM25 bilion menjadi RM91 bilion. Tak apa, RM91 bilion itu masih banyak. Banyak lagi aset Khazanah boleh jual," sindirnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Hari ini, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam sidang media Ulasan Tahunan Khazanah 2019 berkata, syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.
Menurutnya, nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.
Jelasnya, keuntungan kumpulan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, seiring dengan ketidaktentuan pasaran.