PUTRAJAYA - Malaysia dan Brunei Darussalam hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai pergerakan tahanan dari kedua-dua negara.
MoU itu melibatkan pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan dari Sabah dan Sarawak melalui Brunei Darussalam serta pemindahan dan iring kawal banduan atau tahanan dari Brunei Darussalam melalui Sabah dan Sarawak.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra, di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Brunei, Dr Mahathir adakan pertemuan di Putrajaya
Malaysia diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Brunei Darussalam diwakili oleh rakan sejawatnya, Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong.
Turut serta pada majlis itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan sulung dengan Dr Mahathir di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei.
Pertemuan empat mata selama lebih satu jam itu antara lain membincangkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan isu yang melibatkan kepentingan bersama.
Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang semalam bagi lawatan dua hari ke Malaysia. - Bernama