Institusi pendidikan dilaksana selepas 2 minggu peralihan fasa

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123rf

PUTRAJAYA - Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut ketetapan fasa baharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan sesebuah negeri ke fasa seterusnya.

KPM dalam kenyataannya memaklumkan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri fasa 2 PPN.

Iklan
Iklan

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di Pahang pula kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri fasa 2 PPN.

"Memandangkan Pahang akan beralih ke fasa 3 pada 24 September ini, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri ini akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober 2021," katanya.

Iklan

Bagi Negeri Sembilan pula, kementerian itu berkata, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.

"Negeri Sembilan akan beralih ke fasa 4 pada 24 September ini, maka pengoperasiannya berdasarkan fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober," katanya.

Iklan

KPM berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk pelajar tingkatan enam semester dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

"Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut," katanya pada Jumaat.

Ujarnya, murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober 2021 adalah berdasarkan ketetapan negeri fasa 4 PPN," katanya.

Tambah kementerian itu, pengoperasian di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September lalu.

Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.

Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri," katanya.