KUALA LUMPUR - Indeks Pelopor (IP) Malaysia susut 4.0 peratus untuk merekodkan 105.0 mata pada Julai 2021 daripada 109.4 mata yang dicatatkan pada Julai 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, mengambil kira prestasi IP yang lebih lemah pada bulan rujukan dan trend kadar pertumbuhan IP terlicin yang menurun sejak Mac 2021, IP menjangkakan prospek ekonomi Malaysia berkemungkinan berdepan ketidakpastian.
"Bagaimanapun, keberkesanan pelbagai strategi ekonomi dan kesihatan di samping kerjasama rakyat dalam menerima dan mengamalkan normal baharu dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dijangka dapat memulihkan prospek ekonomi jangka pendek,” katanya dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan, Julai 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau berkata, gangguan berpanjangan dalam ekonomi terus mempengaruhi prestasi IP yang menunjukkan trend menurun pada Julai 2021.
Penyusutan 4.4 mata ini didorong terutama oleh penurunan bilangan syarikat baru didaftar, dengan sejumlah 2,646 syarikat tempatan baharu yang didaftar pada Julai 2021 berbanding 5,522 syarikat pada bulan yang sama tahun sebelumnya, katanya.
"Penurunan tersebut juga dipengaruhi oleh kesan asas daripada tahun sebelumnya,” katanya.
Mohd Uzir berkata pada masa sama, IP juga mencatatkan penurunan bulan ke bulan pada Julai 2021 dengan negatif 0.6 peratus terutama disebabkan oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-1.3 peratus).
Beliau berkata sementara itu, Indeks Serentak (IS) sebagai proksi kepada prestasi aktiviti ekonomi semasa terus menunjukkan trend penurunan yang lebih tinggi tahun ke tahun apabila susut 5.2 peratus (Jun 2021: -3.1 peratus).
Sementara itu, IS mencatatkan negatif 2.5 peratus bulan ke bulan disebabkan prestasi yang kurang menggalakkan dalam hampir kesemua komponen IS, terutama daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-1.5 peratus). - Bernama