MESTI biasa dengar masalah buasir kan? Biarpun sering dijadikan bahan gurauan, jangan main-main dengan sakit ini kerana ia boleh mengundang masalah besar.
Apa sebenarnya buasir atau dalam bahasa Inggeris nya disebut hemorrhoids ini?
Buasir adalah penyakit yang sering berlaku. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira umur tetapi selalunya dilihat pada orang dewasa 30 tahun ke atas dan wanita mengandung. Ia sering dikaitkan dengan meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit.
Apa boleh dilakukan?
Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan buasir dan mengurangkan simptomnya:
Langkah elakkan sembelit
1) Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan anda dengan memakan buah-buahan,sayur-sayuran hijau dan bijirin. Jika ingin memakan roti atau bijirin, pilihlah yang mengandungi bijiran penuh (wholemeal).
2) Lebihkan minum air, sebaik-baiknya lapan gelas sehari.
3) Lakukan senaman setiap hari.
4) Elakkan pengambilan julap yang boleh menyebabkan cirit-birit dan menerukkan lagi masalah buasir. Anda boleh mengambil julap yang mengandungi serat tinggi seperti Fybogel yang bertujuan untuk mengelakkan sembelit.
Mengurangkan kesakitan
- Mandi dengan air suam untuk mengurangkan kesakitan dan kegatalan.
- Jika terdapat pembengkakan, gunakan ais supaya bengkak surut atau duduk di dalam besen yang berisi air garam.
- Ambil pil untuk mengurangkan sakit seperti paracetamol, aspirin, atau ibuprofen.
- Terdapat banyak produk krim sapuan atau supositori yang berada dipasaran untuk rawatan buasir. Kebanyakannya tidak mempunyai bukti yang kukuh bagi keberkesanannya. Produk-produk ini mungkin boleh mengurangkan simptom tetapi penggunaan berterusan tidak digalakkan. Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kulit di sekeliling dubur.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/buasir/