PUTRAJAYA - Pemandu bas ekspres di seluruh negara bakal menikmati durian runtuh apabila Kementerian Kewangan bersetuju memperuntukkan bantuan kewangan secara sekali beri (one-off) RM500.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peruntukan RM3.3 juta itu membabitkan 6,600 penerima di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).
"Proses penyaluran bantuan akan dilaksanakan dengan segera sebaik sahaja kementerian menerima dan agensi pelaksana menerima peruntukan itu," katanya.
Menurutnya, syarat-syarat kelayakan akan ditetapkan oleh kementerian bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.
"Sebagai makluman awal, syarat utama bagi menentukan kelayakan penerima bantuan yang akan ditetapkan kepada pemandu bas ekspres ialah warganegara Malaysia dan berdaftar secara rasmi sebagai pekerja dengan syarikat bas ekspres dan mempunyai caruman Perkeso yang masih sah," katanya.
Selain itu beliau berkata, pemandu bas perlu mempunyai lesen vokasional sah dengan mengambil kira tempoh pengecualian pembaharuan yang telah diberikan oleh MOT sepanjang tahun 2021.
"Hanya syarikat atau pengusaha bas ekspres yang mempunyai lesen pengendali atau lesen atau permit kenderaan bas ekspres sah dengan APAD atau LPKP Negeri Sabah dan Sarawak yang layak memohon bantuan ini bagi pemandu bas ekspres mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, MOT juga akan mengenal pasti langkah-langkah lain dan meneliti garis panduan bagi membantu pengusaha bas ekspres supaya dapat menyediakan perkhidmatan kepada tahap yang normal dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berwajib yang lain dan persatuan syarikat serta pengusaha bas ekspres.
"Garis panduan dan langkah pengoperasian yang selamat akan dibangunkan bagi membantu pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres dapat memulakan perkhidmatan dengan baik apabila perjalanan rentas sempadan dibenarkan kelak.
"Ia juga bagi menyokong pelaksanaan perjalanan pelancongan domestik terhad yang akan dibenarkan oleh kerajaan dalam fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Mudah-mudahan dengan penyaluran bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada pemandu bas ekspres dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19 seterusnya kembali bangkit untuk meneruskan operasi apabila keadaan beransur pulih sepenuhnya," katanya.