SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepatkan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada kemunculan varian baharu virus berkenaan.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kemunculan pelbagai varian Covid-19 mungkin akan melemahkan vaksin yang sudah diterima khususnya dalam kalangan warga emas dan individu mempunyai komorbiditi.
Justeru beliau berkata, keputusan untuk memberikan suntikan dos ketiga sebagai penggalak kepada kekebalan imun sistem golongan berisiko adalah sangat penting.
"Perincian tersebut haruslah dibuat dengan pantas bagi memastikan masyarakat tetap dilindungi dari pandemik ini.
"Semakin cepat perincian untuk pemberian dos ketiga diputuskan dan diedarkan akan membawa kesan yang lebih baik.
"Mungkin pada masa ini, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam kajian penyelidikan perubatan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi membolehkan negara menyediakan sendiri vaksin untuk rakyat agar penyediaannya dapat dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lam Thye bagaimanapun berkata, beliau memuji usaha pihak berkuasa yang berusaha keras memastikan Program Imunisai Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai tahap kejayaan yang memuaskan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan terbaharu, hampir 80 peratus populasi dewasa telah divaksinasi sepenuhnya, manakala 93.1 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
"Secara keseluruhan, hampir 41 juta dos telah diberikan kepada penduduk negara ini. Tetapi, kita perlu meneruskan program imunisasi sehingga mencapai satu tahap yang betul-betul selamat.
"Kita baru diberitahu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa konsep immuniti kelompok tidak diapliklasikan lagi.
"Mengikut standard piawaian global, kita mungkin bermula agak lewat berbanding negara lain, tetapi konsistensi dan kegigihan yang ditunjukkan menjadikan Malaysia telah mengatasi banyak negara lain yang masih berusaha untuk mendapatkan imuniti kelompok,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Lam Thye turut menasihati orang ramai supaya terus berwaspada walaupun negara sudah hampir mencapai imuniti kelompok.
Menurutnya, setelah dibenarkan merentas daerah dan diberi sedikit kelonggaran lain, orang ramai didapati berkumpul secara besar-besaran di kawasan air terjun, pantai dan banyak lagi tempat rekreasi tanpa penjarakan fizikal yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Kita harus ingat, walaupun kelonggaran ini telah diberikan kita wajib mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mematuhi jarak penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.
"Selain itu, majikan dan pemilik kedai makan pula harus sentiasa peka dalam memastikan pelanggan dan pekerja mereka bukan sahaja sudah melengkapkan dua dos vaksin tetapi turut mematuhi garis panduan SOP kedai makan yang ditetapkan,” katanya.