MELAKA - Kerajaan negeri meminta pemain industri pelancongan negeri ini terus bersabar memandangkan Melaka tidak akan memulakan gelembung pelancongan domestik bermula 1 Oktober ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pengorbanan besar yang dilakukan mereka begitu dihargai biarpun ramai pihak yang teruja sektor pelancongan kembali pulih sekali gus menjana pendapatan mereka.
Bagaimanapun menurutnya, untuk memastikan sektor pelancongan negeri ini kembali aktif dan berpanjangan, aspek keselamatan dan kesihatan perlu menjadi keutamaan.
Katanya, pintu sempadan negeri tidak akan dibuka pada Jumaat depan kerana mahu memberikan keyakinan dan situasi lebih selamat bukan sahaja terhadap rakyat di negeri ini bahkan juga pelancong tempatan yang berada di Melaka apabila kadar vaksinasi negara telah mencapai 90 peratus.
"Seperti yang saya sebut semalam (Khamis) di dalam 'dewan', Majlis Keselamatan Negara (MKN) pusat telah memutuskan sektor pelancongan hanya dibuka bila kadar vaksinasi di peringkat nasional mencapai 90 peratus.
"Semoga semua pihak terus bersabar untuk sedikit masa lagi, 'sedikit' inilah yang memerlukan pengorbanan besar demi masa hadpaan yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madeline Kuah Mei Lee, menyambut baik keputusan itu dan mengakui banyak faktor yang perlu diberikan penekanan bukan sahaja prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan negeri namun aspek keselamatan dan kebersihan juga penting.
Menurutnya, keputusan yang dibuat itu juga senada apabila kebanyakan restoran, kedai makan dan hotel belum membenarkan 'dine in' sebaliknya meneruskan kaedah penghantaran serta jualan dalam talian kerana masih was-was.
"Contoh walaupun ada pekerja yang telah lengkap dua dos vaksin namun masih ada yang dijangkiti Covid-19 dan situasi ini kita kena lebih perhatin.
"Malah ruang yang ada ini adalah untuk kita memastikan tandas awam dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) benar-benar bersih serta selamat bagi menggelak varian mengganas di tempat awam yang terbuka," katanya.