Perjanjian Pulau Pinang dipajak daripada Kedah tidak berlaku

Iklan
Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican

ALOR SETAR - Tiada perjanjian ataupun surat pajakan berhubung pendudukan Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan naratif yang mendakwa bahawa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah pada 1786 tidak berlaku.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, dokumen yang dikatakan perjanjian antara Kedah dan Pulau Pinang yang dipamer kepada umum itu adalah sekadar surat yang membincangkan ke arah pajakan Pulau Pinang sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah dan Francis Light ketika itu dan perkara tersebut telahpun dijelaskan oleh Sejarahwan, R Bonney di dalam bukunya ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’.

"Apa (dokumen) yang dipaparkan di muzim ataupun arkib adalah tidak betul. Itu bukan dokumen perjanjian dan hal ini yang perlu diperbetulkan. Ia adalah cebisan-cebisan surat di antara Sultan Abdullah dengan Francis Light. Surat yang membincangkan tentang pajakan dan sebagainya tetapi bukan ada perjanjian.

Iklan

"Apa yang dipamerkan itu perlu dijelaskan bahawa ia adalah secebis daripada perbincangan sahaja. Maksudnya di sini muzium ataupun arkib perlu menjelaskan dengan betul. Boleh pamer tapi perlu menjelaskan dengan betul," katanya pada sidang akhbar secara maya berhubung Isu Kedah-Pulau Pinang Oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah pada Jumaat.

Mengulas lanjut, pakar pengkaji sejarah itu berkata, Bonney telahpun menjelaskan perkara berkenaan secara terperinci sejak lebih 50 tahun lalu namun sehingga kini sejarah negara masih lagi menggunakan naratif kolonial bahawa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar berkata, pihaknya berpendirian menyokong kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah yang sah sehingga kini.

Dr Ibrahim Bakar

Menurutnya, berpandukan kepada hujah Bonney, tiada satu pun perjanjian yang sah antara negeri Kedah dengan mana-mana pihak berhubung dengan pendudukan Pulau Pinang.

"PSMCK mendesak supaya kerajaan Kedah mengadakan suatu perbincangan yang serius dengan kerajaan Pusat ke arah mengadakan suatu persefahaman yang baharu dengan mengambil kira kadar bayaran tahunan yang baharu dan merangkumi tempoh masa bagi sesuatu persefahaman yang dicapai," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mencadangkan naratif sejarah berkenaan kedudukan Pulau Pinang perlu diperbetulkan supaya semua pihak memahami keadaan sebenar berkaitan sejarah hubungan Kedah-Pulau Pinang.

"Menurut Bonney (1971: 77), sejarah ini telah dipesongkan oleh Winstedt. Maka suatu kajian yang serius mestilah diusahakan dengan lebih jitu dalam memperbetulkan perkara ini," ujarnya.

Pada Selasa lalu, Muhammad Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengingatkan Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah selain meminta negeri tersebut tidak campur tangan dalam hal berkaitan negeri ini.