KUALA LANGAT - Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memutuskan untuk membenarkan tempoh percubaan operasi kilang bateri di Kampung Jenjarom, di sini, yang sebelum ini dibantah penduduk setempat.
Yang Dipertuanya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, MPKL bersetuju memberi lesen sementara dengan syarat tertentu kepada pemilik kilang selama dua tahun dan boleh diperbaharui setiap enam bulan.
Beliau berkata, sekiranya pemilik kilang melanggar salah satu syarat ditetapkan MPKL dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), lesen berkenaan boleh ditarik semula dan sebarang aktiviti di lokasi itu tidak boleh diteruskan selepas ini.
"Kita akan pastikan semua syarat ditetapkan dipatuhi dan lesen akan ditamatkan jika mereka melanggar peraturan.
"Tak ada lagi peluang untuk mereka menjalankan perniagaan dalam daerah ini," katanya selepas sesi libat urus yang berlangsung di MPKL pada Jumaat.
Rancangan bagi pembukaan semula operasi kilang berkenaan sebelum itu mendapat bantahan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) susulan kebimbangan terhadap pencemaran dan keselamatan mereka.
Penduduk dan NGO terlibat turut menyerahkan memorandum bantahan kepada MPKL susulan daripada penolakan operasi kilang terbabit.
Mengulas lanjut, Amirul berkata, lesen sementara itu juga belum dikeluarkan lagi buat masa ini memandangkan terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi pemilik kilang terbabit.
"Sebagai contoh mereka perlu lengkapkan pelan-pelan bangunan di mana syarikat telah membuat beberapa pengubahsuaian dalam kilang itu sebelum ini bagi melengkapi ketetapan JAS," katanya.
Tambahnya, sesi libat urus itu juga turut berlangsung dalam keadaan baik dan setiap pihak profesional dalam membincangkan perkara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Bantah buka kilang bateri plumbum