ALOR SETAR - Seramai 12,607 individu direkodkan mengunjungi Pulau Langkawi setakat Rabu sejak pelaksanaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi pada 16 September lalu.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan,Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 8,587 orang pelancong melalui jalan udara manakala 4,020 lagi menggunakan pengangkutan feri.
Katanya, kehadiran pelancong dijangka mulai memuncak pada November dan Disember depan.
"Selalunya kedua-dua bulan berkenaan adalah musim bercuti dan Langkawi sering menjadi lokasi tumpuan untuk golongan ini beriadah," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kedah di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pembukaan Jeti Kuala Kedah sejak Khamis memberi peluang kepada penduduk untuk bercuti ke pulau berkenaan.
"Sebelum ini ketika Kuala Kedah masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kita tidak dapat kelebihan itu kerana pelancong dalam negeri ini perlu menggunakan feri dari Kuala Perlis.
"Jadi kita harap penduduk Kuala Kedah dapat menjaga diri dan prosedur operasi standard (SOP) agar kawasan ini tidak lagi dikenakan PKPD dan jeti tidak ditutup kali kedua," katanya.
Tambah Mohd Firdaus, beliau juga berharap pelancong dapat membuat ujian pengesanan Covid-19 dengan lebih awal dalam tempoh 48 jam untuk mengelakkan penyebaran wabak.
" Apabila pelancong tahu lebih awal status kesihatan mereka jadi boleh mengelakkan kawasan tumpuan ramai seperti di jeti ini," katanya.
Sementara itu, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, setakat ini hanya satu trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi disediakan dalam sehari.
"Satu ke Langkawi, satu balik ke Kuala Kedah.Walau bagaimanapun kita akan melihat dari semasa ke semasa sekiranya terdapat keperluan untuk menambah trip feri," katanya.