MIRI - Kerajaan Sarawak akan memperkembangkan lagi pengajian ilmu falak yang dilihat mampu untuk memberi manfaat yang besar khasnya dari segi ekonomi pada masa akan datang, kata Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat.
Berucap semasa merasmikan Pusat Falak di Luak Esplanade di sini, beliau berkata, ilmu itu penting kerana ia berkait rapat dengan teknologi maklumat, bidang digital dan juga perhubungan.
Justeru katanya, Pusat Falak Miri bernilai RM4.5 juta yang mula dibina 5 September 2019 dan siap pada 13 Julai lepas akan dibuka kepada pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi bagi membuat kajian berkaitan astronomi.
"Pusat falak ini akan dijadikan sebagai pusat kajian dan kita akan galakkan pelajar-pelajar kita sama ada Islam ataupun bukan Islam mempelajari bidang astronomi,” katanya.
Beliau berkata, pusat tersebut dapat menjadi lokasi untuk mengkaji angkasa lepas memandangkan banyak bidang yang cepat berkembang seperti teknologi maklumat dan digital adalah berkaitan dengan angkasa lepas.
Abang Johari berkata, pusat yang digunakan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) untuk majlis rukyah dan penyediaan takwim waktu solat, dapat juga digunakan untuk aktiviti pencerapan fenomena alam seperti gerhana matahari dan gerhana bulan serta kajian perubahan iklim.
"Kita boleh buat ramalan kemungkinan bencana seperti banjir dengan membuat perkiraan terhadap peredaran bulan dan bintang (di pusat falak) di sini,” katanya.
Selain itu, tambahnya pusat tersebut berpotensi untuk menjadi sebagai pusat astropelancongan untuk menarik pelancong dalam dan luar negara khasnya dalam kalangan mereka yang menggemari bidang astronomi. - Bernama