Polis buru perompak tular dalam TikTok

Iklan
Dua suspek yang dalam buruan polis.

KLANG - Seorang lelaki ditahan manakala dua lagi suspek diburu polis dipercayai terlibat kes pecah hostel seperti dipaparkan dalam sebuah klip video berdurasi 21 saat yang tular di aplikasi TikTok, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, video tular berkenaan dipercayai diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah premis di Sentosa Utama, Off Jalan Sungai Jati, di sini.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian jam 5.28 pagi itu, suspek berkenaan dirakam ketika sedang melakukan rompakan.

"Bertindak atas maklumat risikan pada Khamis sekitar jam 11 malam, polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun disyaki terlibat dalam kes yang sedang disiasat.

Iklan

"Suspek mengaku melakukan pecah hostel tersebut bersama dua lagi rakannya dikenali dengan nama 'Suren' dan 'Tarik Boy' yang masih bebas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Shamsul Amar, nilai keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM13,000 yang terdiri daripada beberapa barang kemas dan wang tunai.

Iklan

"Suspek melarikan tiga utas rantai leher, dua gelang tangan dan empat bentuk cincin dianggarkan bernilai RM10,000 serta wang tunai berjumlah RM3,000.

"Turut dicuri adalah dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank dan lesen memandu," katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala dua lagi suspek masih diburu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan terus kepada Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019 6892 777 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.