PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung tindakan sesetengah doktor memalsukan rekod perubatan jemaah haji dan umrah khususnya suntikan vaksin.
Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, Lembaga Perubatan Malaysia (MMC) bersedia menyiasat dakwaan berkenaan dan sekiranya benar, tindakan akan diambil kepada doktor tersebut.
"Kami memandang serius hal ini kerana vaksin ini memang diberikan oleh doktor dan (menjadi) tanggungjawab mereka (doktor) memberikan vaksin itu.
"Apabila doktor menandatangani dokumen tersebut (borang vaksin jemaah haji), ini menunjukkan bahawa dia yang memberikan vaksin. Ini adalah perkara yang serius, pemalsuan dokumen oleh doktor adalah sentiasa dianggap perkara yang serius,” katanya.
Sebelum ini, portal dalam talian melaporkan beberapa rakyat Malaysia yang menunaikan umrah dan haji di Makkah didakwa memalsukan rekod perubatan untuk melepasi peraturan vaksin Arab Saudi.
Boon Chye ditemui pemberita pada sidang media selepas melancarkan Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia, Dr Md Zaki Othman dan Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathullah.
Program berkenaan dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini membabitkan penolong pegawai perubatan menderma darah dan menyasarkan 1,000 beg darah dapat dikumpulkan hari ini.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 3,135 penambahan kakitangan pelbagai jawatan bagi KKM tahun ini untuk memantapkan lagi perkhidmatan kementerian berkenaan.
Boon Chye berkata, lantikan tersebut akan melibatkan lepasan graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2017.
Katanya, antara lantikan tersebut melibatkan 517 penolong pegawai perubatan bagi Februari dan Mac (fasa pertama) dan bulan Julai (fasa kedua) pula seramai 775 lagi lantikan untuk jawatan tersebut.
Selebihnya (lantikan) itu termasuk jururawat, pembantu pembedahan pergigian, juruteknologi pergigian, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, fisioterapi dan lain-lain, katanya. - Bernama