GEORGETOWN - Seorang buruh binaan ditemukan mati di tepi jalan raya di Changkat Minden Height, Gelugor di sini pada jam 2.30 petang, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis pada mulanya menerima panggilan kononnya berlaku kemalangan jalan raya melibatkan seorang mangsa lelaki.
Menurutnya, bagaimanapun pegawai polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ke lokasi kejadian mendapati, tiada unsur kemalangan jalan raya ditemui.
"Kejadian berlaku di tepi jalan di hadapan sebuah kedai runcit. Setelah siasatan lanjut dijalankan, kami mendapati ia merupakan kejadian jenayah.
"Mangsa merupakan seorang buruh binaan berusia 52 tahun. Kami sudah mengenal pasti suspek yang berusia 42 tahun dan usaha mengesannya sedang giat dijalankankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Katanya, temu bual terhadap saksi di lokasi kejadian mendakwa seorang lelaki didakwa bergaduh dengan mangsa di lokasi kejadian.
"Suspek dan mangsa saling mengenali dan mereka selalu lepak bersama sambil meminum minuman keras.
"Menurut saksi, berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan kedua-duanya bergaduh.
"Mangsa juga dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menyebabkan suspek berang lalu memukulnya hingga mati. Mangsa ditemui terbaring di sebelah motosikalnya," katanya.
Tambah Soffian, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.