TAIPING - Sebanyak 26,208 pemeriksaan terhadap majikan dijalankan di 136,457 buah premis di seluruh negara sehingga Rabu lepas dalam usaha memastikan kebajikan para pekerja benar-benar terpelihara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, dari jumlah itu 1,057 kertas siasatan telah dibuka terhadap majikan dalam pelbagai sektor melibatkan kesalahan-kesalahan berkaitan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Beliau berkata, 134 kertas siasatan telah diambil tindakan untuk pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara kerana majikan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang boleh mengakibatkan merebaknya jangkitan Covid-19, di samping denda menjangkau RM718,000 dikenakan terhadap majikan terbabit.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di dua kilang pembuatan plastik dan seramik di Kawasan Perusahaan Kamunting di sini pada Jumaat.
Selain itu, katanya, 9,693 aduan diterima berhubung masalah pekerja, dengan aduan tertinggi adalah berkaitan gaji iaitu sebanyak 2,869 kes, diikuti 2,842 aduan majikan tidak benar bekerja di rumah (BDR).
Awang berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga telah memeriksa 3,446 tempat kerja dan 250 kompaun dikeluarkan berjumlah RM2.2 juta melibatkan sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pertanian.
"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pula telah memeriksa 4,706 premis dan mengeluarkan 269 kompaun pelbagai kesalahan melibatkan nilai RM 21,531," katanya. - Bernama