SHAH ALAM - Pusat Komunikasi Korporat dan Perhubungan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat menjalinkan hubungan erat dan kerjasama strategik dengan akhbar Sinar Harian.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Profesor Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, pihaknya berharap kerjasama tersebut dapat mengetengahkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang daripada universiti berkenaan.
Iklan
Iklan
"Saya kira Sinar Harian juga memerlukan banyak input daripada pakar-pakar UKM.
"Jadi, kami sedia membantu dalam pelbagai bidang samada pendidikan, sains sosial atau sains teknologi,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Rombongan diketuai Mohd Syuhaimi itu disambut oleh Pengerusi, Pengarah Urusan dan Penerbit Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Hadir sama Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa.
Selain itu, wakil UKM pula terdiri daripada Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr Shahrul Nazmi Sannusi; Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran Pusat Komunikasi Korporat), Dr Azianura Hani Shaari dan Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Dr Hilwa Abdullah@Mohd Nor.