Anugerah impian setiap penyerang

Iklan
Mintah bersama pemain-pemain TFC II yang mengharungi saingan Liga Premier pada musim ini. - Foto Terengganu FC II

PEMENANG kasut emas Liga Premier, Jordan Mintah mendedikasikan kejayaannya buat semua rakan sepasukan, Terengganu FC ll (TFC ll).

Menurut penyerang import sensasi kelahiran Ghana itu, kejayaan yang dirangkul bukanlah semata-mata berkat usaha kerasnya, tetapi hasil bantuan serta sokongan rakan yang sama-sama berjuang dengan semangat berpasukan yang tinggi.

Iklan
Iklan

"Anugerah ini impian setiap penyerang. Ia sangat bermakna buat saya. Sudah tentu saya memenangi anugerah ini dengan bantuan rakan sepasukan dan saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Mintah yang meledakkan 16 gol dalam 10 perlawanan disertainya berkongsi Kasut Emas dengan penyerang import Johor Darul Ta'zim ll (JDT ll) Fernando Rodriguez.

Iklan

Tetapi, di sebalik kemenangan yang diraihnya, pemain yang pernah mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak Liga Filipina pada 2019 itu mengakui berasa sedikit terkilan kerana masalah kecederaan yang sering menghantui telah menghalangnya tampil dalam lebih banyak perlawanan musim ini.

Namun, beliau tetap bersyukur dan berpuas hati kerana dapat membantu skuad 'The Turtles' mengakhiri saingan di tangga ketiga liga, di belakang Negeri Sembilan FC dan Sarawak United.

Iklan

Menurut Mintah, beliau kini sedang menjalani latihan bersama pasukan 'abang', Terengganu FC (TFC) sebagai persiapan pasukan itu menghadapi saingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya Ahad ini.

"Jika saya diberi peluang menjadi sebahagian daripada skuad (TFC), saya ingin bermain dan membantu pasukan.

"TFC dan TFC II adalah keluarga dan semua (pemain) perlu bersedia membantu jika ada peluang,” katanya yang berharap dapat beraksi di pentas Piala Malaysia. - Bernama