YBR peruntuk RM300,000 laksana program Prestij

Iklan
Noh (tiga dari kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Prestij Pembelajaran 2021 PPD Kuala Selangor di Pejabat PPD Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Selangor bagi melaksanakan program Prestasi Terbilang Ilmu Dijulang (Prestij) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, setiap PPD di negeri ini menerima sebanyak RM30,000 bagi pelaksanaan program berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program YBR dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memastikan program pada cuti hujung minggu dapat meningkatkan prestasi kecemerlangan akademik di semua PPD di negeri ini.

"Program ini bermula di PPD Kuala Selangor tahun lalu dan kita dapati peratus lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat dan Gred Purata Sekolah (GPS) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang dengan menduduki tempat pertama di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Prestij Pembelajaran 2021 PPD Kuala Selangor di Pejabat PPD Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memberitahu, pelaksanaan Prestij itu akan memberi tumpuan kepada

Iklan

anak-anak golongan B40 membabitkan tumpuan kelas tuisyen secara dalam talian, ulang kaji pelajaran selain menerapkan modul motivasi dan semangat bagi menghadapi peperiksaan.

Tambah beliau, program itu akan diperluaskan bukan sahaja kepada pelajar SPM tetapi turut disediakan kepada pelajar di sekolah kebangsaan (SK).

Katanya, fokus YBR dalam aspek sumbangan pendidikan pada ketika ini lebih menyeluruh dan bukan hanya memberi sumbangan material seperti buku, beg dan alat kelengkapan sekolah lain seperti sebelum ini.

"Dalam keadaan dunia pembelajaran tidak bersemuka ini, kita kena perluaskan bentuk pemberian termasuk penganjuran Prestij yang dapat membantu pelajar khususnya golongan B40 meningkatkan prestasi pembelajaran," katanya.