TOKYO - Seekor bangkai ikan paus ditemui tersangkut pada sebuah kapal tangki Jepun yang berlabuh di sebuah pelabuhan di negara itu baru-baru ini.
Bangkai ikan paus sepanjang hampir 10 meter itu tersangkut di bahagian depan yang berbentuk bonggol pada kapal tersebut.
Beberapa penduduk tempatan yang melihat bangkai ikan paus itu telah membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga pasukan pengawal pantai bergegas ke tempat kejadian.
Kejadian itu berlaku di Pelabuhan Mizushima, bandar Kurashiki.
Kapal tangki itu dilaporkan telah belayar di Lautan Pasifik ketika ia menuju ke pelabuhan tersebut.
Kru-kru kapal itu mendakwa mereka tidak mengetahui bahawa kapal berkenaan telah melanggar seekor ikan paus.
Spesies ikan paus itu masih belum diketahui.
Namun, sebuah institut penyelidikan hidupan laut Jepun menyatakan ia kemungkinan spesies ikan paus sirip. - Agensi