WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Bekas gabenor Colorado John Hickenlooper mengumumkan akan menyertai persaingan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020, sekaligus menjadikannya calon ke-14 menyatakan hasrat menentang Presiden Donald Trump.
Hickenlooper, 67, berkhidmat sebagai Datuk Bandar Denver dari 2003 hingga 2010 dan sebagai Gabenor Colorado dari 2011 hingga Januari tahun ini.
"Saya telah berulang kali membuktikan keupayaan untuk menyatukan rakyat demi membawa perubahan progresif di Washington," kata bekas ahli geologi berkenaan.
Bercakap dalam rancangan Good Morning America, Hickenlooper mendakwa AS kini berdepan krisis perpecahan terburuk sejak era Perang Saudara.
"Saya bertanding jawatan presiden kerana saya percaya bukan sahaja mampu mengalahkan Donald Trump, saya juga mampu menjalankan tugas dengan baik," katanya lagi.
Antara lain yang menamakan diri sebagai calon Demokrat untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan, termasuk Senator Bernie Sanders,77, Kamala Harris, 54, Elizabeth Warren, 69, Cory Booker, 49, Amy Klobuchar, 58, dan Kirsten Gillibrand, 52.
Dua calon bukan dalam kalangan ahli politik turut menyertai persaingan, mereka adalah Andrew Yang, 44, seorang eksekutif teknologi dan Marianne Williamson, seorang penerbit buku berusia 66 tahun. - AFP