ESOK secara rasmi kejohanan bola sepak tertua di rantau Asia Tenggara - Piala Malaysia membuka tirainya. Sudah tentu, kesemua pemegang taruh terlibat tidak sabar menantikan aura Piala Malaysia selepas tidak dilangsungkan musim lalu ekoran pandemik Covid-19.
Sebanyak 16 pasukan berentap memburu Piala Malaysia musim ini yang juga bakal menjadi sambutan ulang tahun ke-100 trofi berprestij itu. Johor Darul Ta'zim (JDT) juara edisi 2019 mengetuai senarai 11 pasukan Liga Super selain lima lagi wakil daripada Liga Premier bagi melengkapkan kuota.
Namun, satu persoalan yang masih menjadi tanda tanya, bilakah peminat dan penyokong bola sepak khususnya ‘kaki bola’ dibenarkan kembali memasuki stadium? Sehingga kini, mereka masih lagi setia menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak kerajaan.
Malah, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) juga masih tertunggu-tunggu perkhabaran gembira dari Putrajaya. Jika diikutkan, MFL sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk kembali ‘membawa masuk’ penonton ke stadium.
Bukan sahaja MFL, kesemua pengurusan pasukan juga sudah bersedia menerima ‘kepulangan semula’ penyokong masing-masing ke stadium. Berdasarkan pengalaman dalam beberapa perlawanan sebelum ini, mereka percaya mampu untuk mengawal kehadiran penonton ke stadium dengan SOP yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, penantian mereka tampak tidak akan berakhir dalam masa terdekat apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kehadiran penonton ke stadium atau venue sukan dan rekreaksi di kawasan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguh sementara.
Jika diimbas kembali, stadium kembali bergema dengan sorakan gegak gempita penyokong bola sepak apabila kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada awal April lalu, lebih setahun selepas Liga-M terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium.
Pada ketika itu, formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berdasarkan SOP di kawasan PKP Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti atau maksimum 2,000 penonton dibenarkan manakala PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus atau maksimum 8,000 penonton.
Malah, mengikut SOP protokol pengurusan penonton yang ditetapkan pihak MFL, penonton hanya dibenarkan menggunakan tandas sebelum atau semasa perlawanan berlangsung. Pintu stadium pula akan dibuka kepada penonton dua jam sebelum perlawanan dan ditutup 15 minit sebelum perlawanan bermula.
Namun, ‘keistimewaan’ yang diberikan pihak kerajaan kepada MFL itu ditarik balik susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara sehingga menyaksikan aksi Liga Super mahupun Liga Premier yang berakhir pada Jumaat kembali berlangsung tanpa kehadiran ‘pemain ke-12’ pasukan masing-masing.
Dengan segala pengalaman yang ada sebelum ini, bukan sesuatu yang mustahil bagi MFL dan kesemua pemegang taruh terlibat untuk mengawal selia kemasukan penonton ke stadium. Mereka boleh dianggap lulus kerana tiada ‘kluster bola sepak’ timbul dalam tempoh masa penonton dibenarkan kembali masuk ke stadium.
Kini semuanya terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Di pihak MFL, mereka sudah melakukan apa yang sepatutnya dengan meletakkan syarat baharu termasuk kemasukan ke stadium hanya dibenarkan kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Jika pintu stadium kembali dibuka suatu hari nanti, peringatan buat peminat dan penyokong bola sepak agar patuh dengan SOP yang ditetapkan. Harus diingatkan bahawa sebarang kecuaian dalam mematuhi SOP tidak hanya memberi kesan kepada penonton, malah juga MFL.
Ibarat kata pepatah Melayu – jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Tindakan segelintir penonton mampu menjejaskan imej MFL selain merosakkan peluang penonton lain untuk masuk ke stadium.